[Petikan KOSMO]
“MIMIM, puasalah. Kalau Mimim puasa, Mimim dapat pahala. Bila Mimim dapat pahala, Abi dengan Ummi pun dapat pahala. Mimim, sayang Abi kan?” pujuk seorang bapa yang membahasakan dirinya ‘Abi’ kepada anaknya yang berusia lima tahun. Pujukan agar anak kecil itu berpuasa dilafazkan si bapa pada Ramadan tahun lalu.
Tahun ini, kata-kata pujukan itu hanya tinggal kenangan dalam diri Mimim atau Sofiah Munawwarah Asri, 6. Suara lembut itu tidak lagi kedengaran kerana bapanya, Ustaz Asri Ibrahim telah ‘pergi tak kembali’ pada 13 Ogos yang lalu, kurang dua minggu sebelum Ramadan menjengah. Asri, 40, yang merupakan vokalis kumpulan nasyid Rabbani meninggal dunia akibat serangan jantung.
Mungkin sukar buat Mimim melupakan memori bersama bapanya yang menjadi tempat bermanja. Apatah lagi, Mimim akrab dengan bapanya.
“Masa awal-awal puasa tahun ini, Mimim terkesan dengan kehilangan arwah dan sukar untuk dia berpuasa tanpa sokongannya. Saya risau juga, tapi Alhamdulillah sebab ia tidak berlarutan lama. Kini, dia sudah boleh berpuasa dengan baik,” kata isteri Allahyarham Asri, Halizah Shahadan ketika ditemui Kosmo! di Rawang, Selangor baru-baru ini.
Pujuk
Bercerita tentang cara arwah mengajar anak berpuasa, Halizah, 38, berkata, arwah memujuk anak-anak agar mula berpuasa pada usia seawal lima tahun.
“Bukan Mimim sahaja. Abang-abang dan kakaknya dulu pun begitu cara pujukannya. Pujukan arwah mudah diterima mereka dan anak-anak ternyata boleh berpuasa dengan baik.
“Bagi arwah, perkara-perkara kebaikan tidak patut ditangguh. Sebab itu, anak-anak diajar berpuasa pada usia kecil lagi,” tambah Halizah mengimbau sifat suami tercinta.
Bercerita lanjut tentang kenangan Ramadan bersama arwah, Halizah berkata, arwah hanya mempunyai banyak masa bersama keluarga pada tiga hari pertama Ramadan sahaja, selebihnya dia sibuk di luar membuat persembahan di hotel.
“Penduduk-penduduk di taman perumahan ini suka sangat bila dia dapat jadi imam solat di surau walaupun sekejap.
“Bila dia ada di rumah, memang tak sunyi. Sebelum waktu berbuka, terdengarlah suara dia berceloteh, memberi nasihat dan berjenaka dengan anak-anak. Anak-anak memang manja dengan dia. Kalau pasal anak-anak, penat macam manapun, dia boleh layan dengan baik. Tak pernah merungut,” kata Halizah merenung kosong pada ruang rumah yang agak sepi.
Selain Mimim, tiga anaknya yang turut berada di rumah ketika kunjungan Kosmo! ialah Atikah, 12, Ilham Fikri, 10, dan Hamdi Rabbani, 5. Dua lagi anaknya, Mohd. Nasiruddin, 15, Mohd. Fathi, 14, tinggal di asrama.
Juadah
Kata Halizah, juadah buka puasa yang digemari Asri adalah kuih tepung pelita dan ayam golek. Asri tidak suka minum air sejuk. Semasa bersahur pula, Asri memastikan dirinya minum susu alpha lipid kerana menghidap gastrik.
“Selepas subuh, menjadi amalannya membaca surah Yasin. Bukan bulan puasa sahaja, bulan-bulan lain pun dia baca. Tarawih kalau balik lewat macam manapun, insya-Allah dia akan pastikan untuk mengerjakannya.
“Bila arwah berada di luar rumah, saya tahu dia bekerja untuk dakwah dan meraikan orang. Arwah tidak berkira dalam hal-hal menggembirakan orang. Sedekahnya dalam bentuk begitu. Dia selalu ingat, memenuhi hajat orang, besar pahalanya,” katanya sebelum menambah:
“Arwah hanya menyanyi di depan orang ramai. Di rumah, dia malu hendak menyanyi.”
Menjalani kehidupan tanpa suami, segala tanggungjawab kini terletak di bahu Halizah.
“Memang saya merasakan kehilangannya. Masa dia meninggal dunia, terasa seperti hati saya turut dibawa pergi. Tetapi, saya perlu kuat untuk menjaga anak- anak sehingga mereka berjaya,” ujarnya.
Halizah bersyukur kerana nasibnya mungkin lebih baik berbanding dengan sesetengah ibu tunggal. “Saya ada mata pencarian untuk menyara anak-anak dan saya ada rakan-rakan yang memberikan sokongan. Saya ingin membantu ibu tunggal yang lain,” katanya yang mempunyai bisnes tudung.



September 17th, 2009
admin
Posted in 